Pergi ke kandungan

Gunung Everest

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Gunung Everest
Everest dari Kala Patthar di Nepal
Titik tertinggi
Ketinggian8,848 m (29,029 ka)[1]
Berkedudukan ke-1
Tonjolan8,848 m (29,029 ka)
Geografi
LokasiNepal Nepal
Republik Rakyat China Tibet, China[2]
Induk banjaranMahalangur Himal, Himalaya
Pendakian
Pendakian pertama29 Mei 1953
New Zealand Edmund Hillary
Nepal Tenzing Norgay
Laluan paling mudahSouth Col (Nepal)

Gunung Everest (dikenali sebagai Sagarmatha di Nepal dan Qomolangma di Tibet) merupakan gunung tertinggi di dunia dengan ketinggian setinggi 8850 meter. Gunung Everest terletak di banjaran gunung Himalaya. Everest adalah gunung tertinggi di bumi (diukur dari paras laut). Rabung kemuncak gunung menandakan sempadan antara Nepal dan Tibet.

Masyarakat Nepal mengenal gunung tersebut sebagai Sagarmatha ("ibu langit" atau "dahi langit" dalam bahasa Sanskrit) manakala masyarakat Tibet menyebutnya Chomolangma atau Qomolangma ("ibu alam"), yang diserap daripada nama Cina 珠穆朗玛峰 (pinyin: Zhūmùlǎngmǎ Fēng).

Andrew Waugh jeneral peninjau British di India menamakannya sempena pendahulunya George Everest.[3][4][5] Everest sendiri menentang keras dalam surat kepada Royal Geographical Society tahun 1857 yang beralasan namanya susah disebut apatah lagi ditulis oleh orang India sendiri; tetapi RGS tidak mengendahkannya dan mengiktiraf usulan Waugh secara rasmi pada 1865.[3][6]

Radhanath Sikdar, juruukur dan pakar matematik dari Bengal, merupakan orang yang pertama mengenal pasti Everest sebagai kemuncak tertinggi melalui kiraan trigonometri, pada 1852. Sesetengah rakyat India percaya bahawa puncak tersebut sepatutnya dinamakan menurut Sikdar, bukannya Everest.

Gunung ini dianggarkan 8,850 m (29,035 kaki; hampir 5.5 batu) tinggi, walaupun terdapat variasi daripada segi ukuran (kerajaan Nepal tidak mengesahkan ukuran ini secara rasmi, ketinggian Everest masih dianggap 8,848 m). Ia pertama kali diukur pada tahun 1856 sebagai mempunyai ketinggian 29,000 kaki, tetapi diisytiharkan sebagai 29,002 kaki tinggi. Tambahan secara rawak 2 kaki menunjukkan perasaan masa itu bahawa ketinggian tepat 29,000 kaki akan dianggap sebagai anggaran yang dibulatkan. Masa kini anggaran umum yang diterima pakai adalah 8850 m yang diperolehi melalui bacaan Sistem Kedudukan Sejagat (GPS). Everest masih meningkat akibat pergerakan plat tektonik kawasan tersebut; bagaimanapun, kesan itu hanya ketara pada skala masa geologi.

Secara tepat, Everest adalah gunung yang kemuncaknya mencapai jarak paling luas di atas paras laut. Dua gunung lain yang kadangkala didakwa sebagai "gunung tertinggi di dunia" ialah Mauna Loa di Hawaii, paling tinggi apabila diukur dari dasarnya pada dasar tengah laut, tetapi hanya mencapai ketinggian 4,170 m (13,680 kaki) di atas paras laut dan kemuncak Gunung Chimborazo di Ecuador adalah 2,150 m lebih dari pusat bumi berbanding Everest, kerana Bumi agak berisi di kawasan Khatulistiwa. Bagaimanapun, Chimborazo hanya mencapai ketinggian 6,272 m atas paras laut, yang menurut kriteria bukan juga kemuncak tertinggi di Andes.

Lebih menarik, dasar terdalam di lautan adalah lebih dalam berbanding ketinggian Everest: Challenger Deep, terletak di Jurang Mariana, begitu dalam sehinggakan sekiranya gunung Everest diletakkan di dalamnya, masih terdapat hampir satu batu air menutupinya.

Rabung tenggara

[sunting | sunting sumber]

Pendakian melalui rabung tenggara bermula dengan perjalanan ke kem pengkalan pada 5,380 meter (17,600 kaki) pada sebelah selatan Everest di Nepal. Ekspedisi biasanya bermula daripada penerbangan masuk ke Lukla 2,860m dari Kathmandu dan kemudian berjalan ke kem pengkalan, yang biasanya mengambil masa enam hingga lapan hari, membenarkan penyesuaian altitud yang sesuai agar menghindar penyakit altitud. Peralatan pendakian dan bekalan di bawa oleh yak, dzopkyos dan porter ke kem pengkalan di Glasiar Khumbu. Apabila Hillary dan Norgay mendaki Everest pada tahun 1953, mereka bermula dari Jiri yang pada masa kini mengambil masa lima hingga enam hari untuk sampai ke Lukla.

Pendaki akan menghabiskan masa selama beberapa minggu di kem pengkalan, membiasakan diri dengan altitud. Ketika itu, Sherpa dan sebahagian pendaki ekspedisi akan menyediakan tali dan tangga di Khumbu Icefall yang berbahaya. Serak dan blok air batu yang bergerak boleh menjadikan runtuhan ais yang merupakan salah satu bahagian paling merbahaya dalam perjalanan. Ramai pendaki dan Sherpa telah terbunuh di bahagian ini. Untuk mengurangkan bahaya, pendaki biasanya memulakan pendakian mereka sebelum subuh. Apabila cahaya matahari menyinari ais jatuh (icefall), bahaya akan meningkat dengan mendadak. Di atas ais jatuh ini adalah kem I atau kem pengkalan hadapan (advanced base camp (ABC)) pada ketinggian 6,065m (19,900 kaki).

Dari kem I, pendaki akan bergerak ke atas ke Western Cym ke pengkalan di muka Lhotse, di mana kem II didirikan pada ketinggian 6,500 m (21,300 kaki). Western Cym agak datar, lembah glasier bercerun landai, ditanda dengan beberapa crevasse memanjang di tengah yang menghalang laluan terus ke bahagian atas Cym. Pendaki terpaksa menyeberangi jauh ke kanan berhampiran pengkalan Nuptse melalui laluan kecil dikenali sebagai "Sudut Nuptse". Western Cym juga dikenali sebagai "Lembah Sunyi - Valley of Silence" kerana bentuk muka bumi kawasan tersebut biasanya menghalang sebarang angin dari sampai ke laluan pendakian. Altitud yang tinggi dan hari yang terang tanpa angin menjadikan Western Cym amat panas bagi para pendaki.

Dari kem II, pendaki memanjat permukaan Lhotse menggunakan tali kekal sehingga ke tebing kecil pada 7,470 m (24,500 kaki). Dari situ, ia sejauh 500 meter lagi ke kem IV pada bahagian selatan pada 7,920 m (26,000 kaki). Dari kem III ke kem IV, pendaki berhadapan dengan dua cabaran tambahan: Taji Geneva dan Gelang Kuning (The Yellow Band). Taji Geneva merupakan rabung batu hitam berbentuk landasan yang dinamakan oleh ekspedisi Swiss pada 1952. Tali kekal membantu pendaki mendaki gelang batu yang diseliputi salji ini. Gelang Kuning adalah bahagian batuan mendak atau sedimen yang memerlukan tali sepanjang 100 meter untuk melintasinya.

Di selatan col, pendaki memasuki zon mati. Pendaki biasanya hanya tahan maksimum dua atau tiga hari pada altitud ini sebelum membuat cubaan ke puncak. Cuaca baik dan angin perlahan adalah faktor penting yang menentukan sama ada untuk mencuba ke puncak. Jika cuaca tidak sesuai dalam tempoh pendek ini, pendaki terpaksa turun, kebanyakannya sehingga ke kem pengkalan.

Dari kem IV, pendaki akan memulakan pendakian ke puncak sekitar tengah malam dengan harapan sampai ke puncak (masih 1,000 meter tinggi) dalam tempoh 10 hingga 12 jam. Pendaki akan sampai "The Balcony" pada 8,400 m (27,700 kaki), pelantar kecil di mana mereka boleh berhenti dan merenung ke arah puncak di selatan dan timur dalam cahaya waktu pagi. Meneruskan mendaki rabung, pendaki akan berhadapan dengan tangga batu yang mengancam yang biasanya memaksa mereka ke timur ke dalam salji yang sampai ke tahap pinggang, ancaman bahaya runtuhan salji. Pada 8,750 m (28,700 kaki), dom salji dan air batu sebesar meja kecil menandakan puncak selatan.

Dari puncak selatan, pendaki mengikut rabung timur seperti mata pisau sepanjang apa yang dikenali sebagai "Cornice Traverse" di mana salji melekat di batu sekali-sekala. Ini adalah seksyen paling terdedah dalam pendakian kerana silap langkah akan menjatuhkan seseorang 2,400 m (8,000 kaki) ke bawah di sebelah muka barat daya sementara di sebelah kanan adalah 3,050 m (10,000 kaki) permukaan Kangshung. Pada akhir laluan ini adalah dinding batu mengagumkan setinggi 12 m (40 kaki) yang dikenali sebagai "Hillary Step" pada 8,760m (28,750 kaki). Hillary dan Norgay merupakan pendaki pertama yang mendaki tapak ini dan mereka melakukannya dengan perkakasan memanjat air batu primitif dan tanpa tali kekal. Kini, pendaki akan mendaki tapak ini menggunakan tali kekal yang dipasang oleh Sherpa. Melepasi tapak ini, adalah mudah untuk melangkah terus ke atas melalui dongakan tebing salji yang serdahana curam. Pendaki biasanya menghabiskan kurang dari 1/2 jam di "puncak dunia" kerana mereka menyedari mereka perlu turun ke kem IV sebelum kegelapan menyelubungi atau cuaca petang menjadi masalah besar.

Rabung Barat Laut

[sunting | sunting sumber]

Laluan Rabung Barat Laut bermula dari sebelah utara Everest di Tibet. Laluan ekspedisi melalui Glasier Rongbuk, mendirikan kem pengkalan pada ketinggian 5,180 m (17,000 kaki) di dataran anak batu betul-betul di bawah glasier. Untuk mencapai kem II, pendaki perlu mendaki medial moraine di timur Glasier Ronguk sehingga ke kaki Changtse sekitar 6,100 m (20,000 kaki). Kem III (ABC) terletak di bawah sebelah utara pada ketinggian 6,500 m (21,300 kaki). Untuk sampai ke kem IV di sebelah utara, pendaki perlu mendaki glasier ke kaki col di mana tali kekal digunakan bagi mendaki col utara pada ketinggian 7,010 m (23,000 kaki). Dari utara col, pendaki mendaki rabung utara berbatu untuk mendirikan kem V pada ketinggian 7,775 m (25,500 kaki). Laluan menegak sebelah utara melalui siri lurah dan lekik melalui tebing turun melalui permukaan kasar sebelum sampai ke tapak kem VI pada 8,230 m (27,000 kaki). Dari kem VI, pendaki akan memulakan pendakian ke puncak terakhir. Pendaki mesti bermula dengan melalui tiga gelang batu yang dikenali sebagai Langkah Pertama, Langkah Kedua dan Langkah Ketiga. Apabila melepasi langkah ini, tebing puncak terakhir 50 hingga 60 darjah ke puncak.

Flora dan fauna

[sunting | sunting sumber]
Seekor yak pada ketinggian sekitar 4,790 m (15,720 ka)

Terdapat sangat sedikit flora dan fauna asli di Everest. Sejenis lumut tumbuh pada ketinggian 6,480 meter (21,260 ka) di Gunung Everest dan dipercayai sebagai tumbuhan hidup pada altidud tertinggi di dunia.[7] Pokok kusyen alp yang disebut Arenaria tumbuh di bawah ketinggian 5,500 meter (18,000 ka) di wilayah ini.[8] Menurut kajian berdasarkan data satelit dari 1993 hingga 2018, tumbuhan makin berkembang di kawasan Everest. Pengkaji menemukan tumbuhan di kawasan yang sebelumnya dianggap tandus.[9]

Seekor lelabah pelompat hitam kecil genus Euophrys telah ditemukan pada ketinggian mencapai 6,700 meter (22,000 ka),[10] mungkin menjadi penghuni tetap bukan mikroskopik yang paling tinggi ditemukan di Bumi. Satu lagi spesies Euophrys, E. everestensis ditemukan pada ketinggian 5,030 meter (16,500 ka) dan mungkin memakan serangga yang jatuh terbawa angin.[10] Terdapat kemungkinan tinggi adanya kehidupan mikroskopik pada altitud yang lebih tinggi.

Angsa tengkuk belang berhijrah melintasi Himalaya dan pernah dilihat terbang pada altitud gunung yang lebih tinggi.[11] Pada 1953, George Lowe (dalam ekspedisi Tenzing dan Hillary) mengatakan bahawa beliau melihat angsa tengkuk belang terbang di puncak Everest.[12] Burung lain seperti chough juga pernah dilihat di South Col pada ketinggian 7,906 m (25,938 ka)[13] dan chough perut kuning pernah dilihat setinggi 7,900 m (25,919 ka).[11]

Yak sering digunakan untuk mengangkut alatan semasa mendaki di Gunung Everest. Mereka mampu mengangkut sekitar 100 kg (220 paun), dengan bulu tebal dan peparu besar.[8] Binatang lain di kawasan ini termasuk tahr Himalaya yang terkadang dimangsa oleh harimau salji.[14] Beruang hitam Himalaya pula ditemukan pada sekitar 4,300 meter (14,000 ka) bersama panda merah.[15] Sebuah ekspedisi menemukan kepelbagaian spesies yang mengejutkan di kawasan ini termasuk pika dan sepuluh spesies semut baru.[16]

Pemuliharaan

[sunting | sunting sumber]

Di belahan Nepal, Everest dilindungi sebagai sebahagian daripada Taman Negara Sagarmatha,[17] sedangkan belahan China dilindungi dalam Rizab Alam Negara Qomolangma.[18]

Pendakian

[sunting | sunting sumber]
Gunung Everest yang dilihat dari arah selatan.

Pada 6 Jun 1924, George Mallory dan Andrew Irvine dari United Kingdom, membuat cubaan ke puncak dari mana mereka tidak pernah kembali. Noel Odell, pakar geologi ekspedisi tersebut, melihat pasangan tersebut memanjat "dengan penuh semangat... hampir dengan pangkal piramid akhir" pada 12:50 tengahari pada hari tersebut. Pada tahun 1979 pendaki Wang Hongbao dari China mendedahkan kepada rakannya bahawa dia telah menjumpai mayat pada tahun 1975 yang dikatakan menyerupai gambaran Irvine, bagaimanapun dia terbunuh dalam runtuhan keesokkan harinya sebelum sempat memberikan gambaran terperinci kepada orang lain. Pada tahun 1999 bagaimanapun, Ekspedisi Penyelidikan Mallory dan Irvine yang terkenal mengenalpasti mayat Mallory di kawasan pencarian yang dijangkakan berhampiran kem China lama. Kontrovesi telah timbul dikalangan masyarakat pendaki gunung mengenai samada pasangan tersebut berjaya mendaki kepuncak dunia, 29 tahun sebelum pendakian yang disahkan (dan pastinya, penurunan selamat) Gunung Everest oleh Sir Edmund Hillary dan Tenzing Norgay pada tahun 1953. Persetujuan umum dikalangan pendaki sebagaimana dinyatakan oleh Reinhold Messner, adalah tidak; bagaimanapun, pada (2004) satu lagi ekspedisi sedang dijalankan oleh pihak yang menjumpai tubuh Mallory bagi menjejak Irvine berpeluang bagi mendapat bukti lanjut mengenai hal tersebut. Terutamanya, keduanya diketahui membawa satu kamera Kodak 'Vestpocket' (kemungkinannya Irvine, kerana tidak terdapat pada Mallory), yang filemnya masih boleh dicuci walaupun selepas 80 tahun kemudian, dan mungkin mengandungi gambar kejayaan mencapai puncak. Mallory telah mengembara bagi berucap mengelilingi Amerika Syarikat pada tahun-tahun sebelum 1923; ia ketika itu dia memberikan jawapan terkemuka, "Kerana ia di situ," kepada pemberita New York bagi menjawab soalan," Kenapa mendaki Everest? " untuk apa yang kelihatannya yang keseribu kali.

Pada tahun 1995 George Mallory II dari Afrika Selatan (cucu) menawan puncak Everest.

Pada tahun 1933, Lady Houston, jutawan dan bekas gadis penari, membiayai The Houston Everest Flight of 1933, yang menganjurkan formasi kapal terbang yang diketuai oleh Marquess of Clydesdale melintas melalui kemuncak dalam usaha meletakkan bendera Union Jack British dipuncak.

Ekspedisi awal memanjat gunung dilakukan melalui Tibet, dari arah utara. Walaubagaimanapun, laluan ini ditutup kepada ekspedisi barat pada tahun 1950,iaitu selepas China mengambil alih Tibet. Semasa tahun 1951 dan tahun 1952 ekspedisi yang diketuai oleh British, termasuk Edmund Hillary, mengembara masuk ke dalam Nepal untuk meninjau laluan baru melalui arah selatan.

Mengikut jejak British, ekspedisi Swizland cuba mendaki melalui arah selatan, tetapi terpaksa berpatah balik 200 meter dari puncak. Antara ahli pasukan pendaki adalah Sherpa Tenzing Norgay.

Pada tahun 1953, ekspedisi ke sembilan British, diketuai oleh pegawai British John Hunt, kembali ke Nepal. Hunt memilih dua pasukan pendaki untuk cuba sampai ke puncak. Pasangan pertama berpatah balik selepas keletihan yang tinggi di gunung. Keesokkan harinya, ekspedisi itu menjadi ekspedisi kedua dan terakhir bagi pasangan itu yang menjadi pasangan mandaki yang paling tegap dan berkesungguhan.Puncak itu akhirnya dapat didaki pada jam 11.30 pagi pada 29 Mei,1953 oleh orang dari New Zealand iaitu Edmund Hillary dan Sherpa. Tenzing Norgay dari Nepal yang berjaya mendaki South Col Route. Walaupun Hillary mengaku bahawa dia lebih jauh kehadapan berbanding Tenzing kedua-keduanya menghargai usaha kepasukan sepanjang pendakian tersebut.Mereka berhenti sementara untuk mengambil gambar dan menanam beberapa gula-gula dan sebatang kecil salib ke dalam salji sebelum mendaki turun.Berita kejayaan ekspedisi itu sampai kepada Ratu Elizabeth II'. Mereka kembali semula ke Kathmandu beberapa hari kemudian dan Hillary dan Hunt mendapati mereka telah dianugerahkan pangkat Kesatria atas usaha mereka.

Pada 16 Mei, 1975 Junko Tabei telah menjadi wanita pertama untuk sampai ke puncak Everest .Pada 25 Mei,2001, Erik Weihenmayer menjadi pendaki buta yang pertama untuk sampai ke puncak tersebut.

Semasa penghujung musim mendaki pada tahun 2001,1491 orang telah berjaya mendaki puncak tersebut (560 orang semenjak tahun 1998), dan hampir 172 orang pendaki yang telah maut,dan tahun termalang ialah pada tahun 1996 di mana 15 orang telah maut semasa cuba mendaki untuk sampai ke puncak dan hari yang terburuk ialah di mana 8 orang pendaki telah maut.Pada Mei 2004, Kent Moore - seorang ahli fizik dari University of Toronto - memberitahu kepada New Scientist mengenai analisa keadaan cuaca pada hari yang paling malang itu menunjukkan bahawa keadaan cuaca yang buruk telah menyebabkan kadar oksigen menyusut hampir 14%. Lapan mereka yang terbunuh itu merupakan sebahagian daripada 26 orang yang telah mendaki puncak gunung itu tanpa bantuan oksigen.

Keadaan puncak yang sukar didaki telah menyusahkan proses untuk membawa turun mayat di mana hampir semua mayat mereka yang telah terkorban dibiarkan di tempat asal kematian mereka,dan sesetengahnya dapat dilihat dengan jelas dari kawasan pendakian yang biasa.

Kebanyakan pendakian menggunakan topeng oksigen dan tangki oksigen . () Di atas kawasan melibihi 8000m (26,000 kaki); kawasan ini dikenali sebagai kawasan maut.Puncak Everest boleh didaki tanpa bantuan oksigen, namun ini memerlukan latihan kesihatan yang khas dan ia juga meningkatkan risiko kepada pendaki :kerana manusia tidak dapat berfikir dengan betul apabila kekurangan oksigen .Cuaca, suhu yang rendah dan juga jurang-jurang yang berbahaya memerlukan tindakan yang cepat dan betul apabila ingin mendakinya.

Pendaki gunung merupakan sumber bagi penyedia perkhidamatan untuk rakyat Nepal: ia bermula dari mereka yang berpengalaman hingga mereka yang mengambil bayaran dari pelawat untuk membawa mereka hingga ke puncak.

Mohandas Nagappan (M. Nagappan) dan Magendran Moorthy (M. Magendran) merupakan warga Malaysia pertama yang berjaya menawan puncak Gunung Everest pada 1997.

Laluan mendaki

[sunting | sunting sumber]
Laluan selatan dan utara sebagaimana dilihat dari Stesen Angkasa Antarabangsa.

Gunung Everest mempunyai dua laluan memanjat, rabung tenggara dari Nepal dan rabung barat laut dari Tibet. Dari keduanya, rabung tenggara adalah lebih mudah secara teknikal dan merupakan laluan yang paling sering digunakan. Ia juga merupakan laluan yang digunakan oleh Hillary dan Norgay pada tahun 1953. Bagaimanapun, ini adalah disebabkan oleh isu politik, bukannya disengajakan kerana sempadan Tibet ditutup kepada orang asing pada tahun 1949.

Kebanyakan percubaan dilakukan antara bulan April dan Mei sebelum musim monsun musim panas melanda. Pertukaran pada aliran jet pada ketika ini turut mengurangkan purata kelajuan angin di gunung. Sementara cubaan kadang-kala dilakukan selepas monson pada September dan Oktober, tambahan salji terhimpun dari monson meningkatkan kesukaran.

Garis waktu

[sunting | sunting sumber]
  • 1921 Ekspedisi British pertama meninjau laluan melalui glasier Rongbuk.
  • 1922 Tujuh pendaki Sherpa terbunuh dalam runtuhan salji dan menjadi kematian pertama dilaporkan di Everest.
  • 1922 Ekspedisi kedua British sampai ke 8321 meter.
  • 1924 Ekspedisi ketiga British sampai ke 8500 meter. Pada 6 Jun, George Mallory dan Andrew Irvine cuba mendaki untuk sampai ke puncak tetapi hilang selepas awan tebal menyelitupi mereka. Saksi mendakwa melihat mereka berhampiran puncak.
  • 1933 Lady Houston membiayai formasi kapal terbang untuk melintasi puncak dan meletakkan bendera Union Jack British.
  • 1934 Maurice Wilson (British) mati dalam cubaan mendaki berseorangan.
  • 1950 Nepal membuka sempadannya kepada orang asing.
  • 1952 Ekspedisi dari Swizland, termasuk Sherpa Tenzing Norgay menyerah akibat keletihan, 200 meter dari puncak.
  • 1953 Puncak dicapai buat pertama kali pada 11:30 am 29 May oleh Sir Edmund Hillary New Zealand dan Sherpa Tenzing Norgay dari Nepal mendaki dari arah Laluan Col Selatan (South Col Route).
  • 1960 Pada 25 May, pasukan China menjadi pasukan pertama sampai ke puncak melalui laluan Rabung Utara.
  • 1963 Penyeberangan pertama oleh ekspedisi Amerika Syarikat, bermula dari barat dan turun di barat daya.
  • 1965 Pada 20 May, Nawang Gombu Sherpa menjadi orang pertama sampai ke puncak dua kali.
  • 1975 Pada 16 May, Junko Tabei dari Jepun menjadi wanita pertama sampai dipuncak.
  • 1975 Pada 27 May, wanita Tibet, Phantog, menjadi wanita pertama sampai ke puncak melalui sebelah Tibet.
  • 1978 Reinhold Messner (Selatan Tyrol, Itali) dan Peter Habeler (Austria) sampai ke puncak tanpa tangki oksigen.
  • 1980 Ekspedisi pasukan kali pertama pada musim sejuk oleh pasukan dari Poland.
  • 1980 Reinhold Messner dari South Tyrol, Italy, lelaki pertama mendaki Everest seorang diri tanpa tangki oksigen.
  • 1982 Pada October 5, Laurie Skreslet menjadi rakyat Kanada pertama untuk sampai ke puncak.
  • 1988 Jean-Marc Boivin dari Perancis memulakan dengan paraglider dari puncak gunung.
  • 1993 90 pendaki pada musim luruh sahaja dan menjadi permulaan komersial mendaki pucak Everest.
  • 1993 Ramon Blanco dari Sepanyol menjadi orang tertua untuk sampai ke puncak pada usia 60 tahun, 160 hari. (dikalahkan oleh rekod tahun 2001).
  • 1996 Hans Kammerlander dari South Tyrol, Itali mendaki gunung dan mendaki turun tersebut dari sebelah utara dengan ski dalam tempoh 16 jam 45 minit.
  • 1996 Göran Kropp dari Sweden mejadi orang pertama untuk menaiki basikal pergi dan balik dari rumahnya ke gunung tersebut,pereseorangan tanpa bantuan tangki oksigen.
  • 1997 M.Magendran dan N.Mohandas dari Malaysia menjadi cikgu pertama yang mendaki Gunung Everest
  • 1998 Edward Grylls dari United Kingdom menjadi pendaki termuda untuk sampai ke puncak pada usia 23 tahun.
  • 1998 Tom Whittaker merupakan orang cacat pertama untuk sampai ke puncak.
  • 1999 Sherpa Babu Chiri Sherpa dari Nepal tinggal selama 21 jam di puncak gunung.
  • 2001 Pada Mei 24, Temba Tsheri menjadi pendaki termuda untuk mendaki puncak gunung pada usia 15 tahun.
  • 2001 Pada Mei 25, Erik Weihenmayer berusia 32 tahun , dari Boulder, Colorado, menjadi orang buat pertama untuk sampai ke puncak.
  • 2001 Pada hari yang sama,Sherman Bull berusia 64 tahun, dari New Canaan, Connecticut, mejadi pendaki tertua untuk mendaki puncak tersebut.
  • 2003 Pemba Dorjie Sherpa dari Nepal dan berusia 24 tahun menjadi pendaki gunung terpantas dalam masa 12 jam dan 45 minit pada 23 mei.
  • 2003 Tiga hari kemudian,Sherpa Lakpa Gelu memecahkan rekod tersebut dalam tempoh 10 jam dan 56 minit. Setelah sedikit peselisihan dengan Dorjie pihak kementerian pelancongan telah mengiktiraf rekod tersebut pada bulan julai tahun yang sama.
  • 2003 Yuichiro Miura menjadi orang tertua untuk sampai ke puncak pada usia 70 tahun dan 222 hari.
  • 2004 Pemba Dorjie Sherpa memecahkan rekodnya sendiri iaitu dalam masa 8 jam dan 10 minit pada 21 Mei.

Lihat juga

[sunting | sunting sumber]
  1. Based on elevation of snow cap, not rock head. For more details, see Ukuran.
  2. The position of the summit of Everest on the international border is clearly shown on detailed topographic mapping, including official Nepalese mapping.
  3. 1 2 Ralat petik: Tag <ref> tidak sah; tiada teks disediakan bagi rujukan yang bernama "everest_bwp70"
  4. "India and China". The Times (22490). 4 October 1856. m/s. 8.
  5. "Papers relating to the Himalaya and Mount Everest". Proceedings of the Royal Geographical Society of London. IX: 345–351. April–May 1857.
  6. "Papers relating to the Himalaya and Mount Everest". Proceedings of the London Royal Geographical Society of London. IX: 345–351. April–May 1857.
  7. "High altitude plants". Adventure Scientists. Diarkibkan daripada yang asal pada 25 April 2012. Dicapai pada 15 May 2012.
  8. 1 2 Ann Heinrichs (2009). Mount Everest. Marshall Cavendish. m/s. 25. ISBN 978-0-7614-4649-1.
  9. Anderson, Karen; Fawcett, Dominic; Cugulliere, Anthony; Benford, Sophie; Jones, Darren; Leng, Ruolin (9 January 2020). "Vegetation expansion in the subnival Hindu Kush Himalaya". Global Change Biology. 26 (3): 1608–1625. Bibcode:2020GCBio..26.1608A. doi:10.1111/gcb.14919. PMC 7078945. PMID 31918454.
  10. 1 2 Wanless, F. R. (1975). "Spiders of the family Salticidae from the upper slopes of Everest and Makalu" (PDF). Bulletin of the British Arachnological Society. 3 (5): 132–136. Diarkibkan (PDF) daripada yang asal pada 2023-07-08. Dicapai pada 2023-09-15.
  11. 1 2 Jesse Greenspan (29 May 2013). "7 Things You Should Know About Mount Everest". History.com. Diarkibkan daripada yang asal pada 2 June 2022. Dicapai pada 20 September 2015.
  12. "Bar-headed geese: Highest bird migration tracked". BBC News. Diarkibkan daripada yang asal pada 13 May 2022. Dicapai pada 20 September 2015.
  13. The Ascent of Everest by John Hunt (Hodder & Stoughton, 1953) In chapter 14, Hunt describes seeing a chough on the South Col; meanwhile Charles Evans saw some unidentified birds fly over the col
  14. "Ale, Som B. "Ecology of the Snow Leopard and the Himalayan Tahr in Sagarmatha (Mt. Everest) National Park, Nepal." University of Illinois, 2007" (PDF). Diarkibkan (PDF) daripada yang asal pada 2022-10-09.
  15. "List of Animals on Mount Everest". Pets on mom.me. Diarkibkan daripada yang asal pada 4 August 2020. Dicapai pada 20 September 2015.
  16. "Everest Expedition Uncovers Exotic Species". LiveScience.com. 7 April 2006. Diarkibkan daripada yang asal pada 26 March 2022. Dicapai pada 20 September 2015.
  17. "Sagarmatha National Park". whc.unesco.org. Dicapai pada 2024-11-29.
  18. "Mount Everest National Nature Reserve: Facts, Geography & Location". www.topchinatravel.com. Dicapai pada 2024-11-29.

Pautan luar

[sunting | sunting sumber]