0:00
-4:50
(i) kancil lama: hujan di kota ketika itu lebat. aku berdiri di pondok pengawal sekolah bersama beberapa orang pelajar lain. baju sekolah yang nipis sudah habis lencun. kasut yang aku kapurkan malam hujung minggu kembali hitam.
aku sedang menunggu Umi.
“terima kasih Cik Man…,” kata Umi kepada guard sekolah sebaik sahaja kereta Perodua Kancil berwarna silver itu berhenti di hadapan kami.
“sorry abang. Umi lambat.”, nafasnya sedikit tercungap sambil mengusap kepala aku yang basah.
“tak apa.”, balas aku pendek, melihat titis-titis hujan yang sedang jatuh di tingkap kereta. ini bukan kali pertama Umi lambat, dah berkali-kali.
“start minggu depan, abang balik dengan Haikal ya. nanti ayah Haikal drop abang dekat tempat kerja Umi.“
“okay”, balas aku pendek lagi.
Umi tak tahu malu ke? bisik aku dengan isi kepalaku yang berusia belasan tahun.
(ii) bekal sekolah: 6 pagi. bekal sudah tersedia. ada hari dua keping roti telur. ada hari nasi goreng. ada hari nasi putih dan ayam kicap. kegemaran aku.
aku suka masakan Umi, tapi semakin hari, bila aku di kantin bersama kawan-kawan, aku mula membuka penutup bekas plastik merah itu perlahan-lahan supaya tidak terlalu ramai yang memandang.
“esok abang tak nak bawa bekal boleh?“, sambil membantu Umi menyiapkan tempahan pau.
“kalau tak bawak bekal, abang nak makan apa?“
“abang nak beli nasi kat kantin lah.“
“abang boleh sabar dengan Umi? nanti abang masuk asrama, Umi janji abang makan kat kantin hari-hari. esok Umi prepare bekal okay?“
“okay”, balas aku sependeknya. nadaku sedikit kelat.
Umi memang tak tahu malu.
(iii) gadai: entah berapa kali aku ikut Umi ke pajak gadai. aku masih ingat bau penghawa dingin yang sejuk dan kaunter kaca yang tebal. ada masanya aku sinis. Umi selalu berpesan supaya aku belajar menabung, tapi Umi sendiri asyik ke pajak gadai.
“ni saya ambik satu bulan lagi lah.”, kata Umi sambil membuka gelang emas di pergelangan tangannya.
“okay cikzal. you punya saya simpan baik punya lah.”, pak cik cina di sebalik kaunter hanya mengangguk. aku memandang gelang itu hilang ke sebalik laci.
aku tak faham bagaimana seseorang boleh begitu tenang menggadaikan barang kemasnya sendiri. dalam kepala budak belasan tahun, pajak gadai hanya membawa satu maksud. gagal. malu. you have nothing anymore.
masa sekarang: minggu lepas, berkali-kali aku singgah ke rumah lama Umi. bukan ada urusan pun, sekadar mahu melihat bunga-bunga yang pernah Umi tanam. pokok-pokok yang masih memanjat pagar dan yang sedang mengeluarkan kuntum baru.
aku berdiri lama di hadapan halaman itu. sunyi. dulu aku selalu tertanya-tanya kenapa Umi sanggup menghabiskan masa menyiram bunga selepas penat bekerja seharian.
barangkali bunga-bunga itu tidak pernah meminta apa-apa daripada Umi. cukup disiram. cukup dijaga. lalu ia membalas dengan berbunga. seperti Umi. Umi memberi tanpa pernah berkira bila mahu menerima.
aku sedar perempuan paling “tak tahu malu” yang pernah aku temui dalam hidup ialah ibu aku sendiri. Umi bekerja dari jam 8 pagi hingga 5 petang. dalam masa yang sama, Umi juga mengambil tempahan pau dan kadang-kadang menjahit. Kancil kecil itulah yang membawanya ke sana sini mencari rezeki ketika orang lain sudah bertukar kereta.
ketika orang bertanya, “suami mana?”
Umi hanya tersenyum, “saya sendiri je dengan anak-anak.”
tiada rasa segan. tiada rasa rendah diri. hanya bangga.
aku melihat Umi menuntut hak aku dan kakakku sehingga kami tidak pernah putus rezeki. ada hari Kancilnya rosak, lalu dia menumpang jiran, tetapi tidak sekali pun Umi menumpang kejayaan orang lain.
aku melihat Umi meminjam mesin jahit, meminjam barang-barang, bahkan meminjam masa tidurnya sendiri, tetapi tidak sekali pun aku melihat Umi meminjam maruahnya.
aku melihat Umi membahagiakan ramai orang tanpa sekali pun menjadikan dukanya alasan untuk berhenti.
bertahun-tahun kemudian barulah aku faham.
dalam bahasa Arab, al-Hayy ialah salah satu nama Allah, Yang Maha Hidup. daripada akar kata yang sama lahir perkataan haya iaitu malu. ulama berkata, semakin hidup hati seseorang, semakin tinggi rasa hayanya.
rupa-rupanya, selama ini yang aku sangka tidak tahu malu itulah perempuan yang paling menjaga hayanya. yang dibuangnya hanyalah malu kepada dunia. tetapi malu kepada Tuhan, tidak pernah sekali pun dia lepaskan, terpancar daripada cara dia menggalas tanggungjawab dan amanah.
terima kasih Umi, kerana menyedarkan aku bahawa yang kusangka cuma sebuah Kancil kecil, yang pernah membuatkan aku berasa malu, rupa-rupanya itulah yang membawa seluruh masa depan aku.
Buat perempuan hebatku, ZHS
Dalam kenangan, Ogos 2024

Comments
Nothing yet. Say the first thing.
Sign in to join the conversation.